Khamis, 19 April 2012

Cara Mandi Wajib Yang Betul Dan Sah


   Cara Mandi Wajib Yang Betul Dan Sah

Mandi wajib merupakan perkataan yang mudah disebut,tetapi jangan terkejut jika dikatakan banyak umat Islam di tanah air kita yang tidak sah mandi wajibnya kerana tidak melakukannya dengan betul.Untuk melakukan mandi wajib yang betul, seseorang itu tidak boleh melakukannya dengan hanya mandi secara berdiri atau duduk mencangkung sahaja. Sebaliknya,ia mesti dilakukan dalam kedua2 keadaan bagi membolehkan seseorang itu meratakan air ke seluruh anggota badannya yang zahir.

Penolong Pengarah Bahagian Dakwah,Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),Ustaz Haji Mat Jais Kamos, menegaskan, bagaimanapun, berdasarkan pengalamannya sebagai bekas kadi di Pejabat Agama Islam Gombak Timur dan penceramah,didapati banyak umat Islam yang tidak mengetahui perkara ini.

“Akibatnya,mandi majibnya menjadi tidak sah kerana tidak memenuhi salah satu rukun mandi wajib iaitu meratakan air keseluruh anggota badan yang zahir.Apabila mandi wajib tidak sah,ibadat yang dilakukan oleh seseorang itu juga turut tidak sah. Itulah akibatnya jika tidak melakukan mandi wajib dengan betul.” tegas beliau ketika ditemui di rumahnya di Taman Sri Keramat Kuala Lumpur.

Mandi wajib yang juga disebut sebagai mandi junub atau janabah tidak boleh dipandang ringan oleh umat islam.Setiap orang yang melakukannya mestilah mengetahui dan memenuhi rukun2nya. Jika tidak mandi wajib seseorang itu tidak akan sah.

Rukun mandi wajib ada 3 perkara: 

Pertama : Niat.

Kedua : Menghilangkan najis pada badan.

Ketiga : Meratakan air keseluruh anggota badan yang zahir.

Niat mandi wajib: “Sahaja aku mengangkat hadas besar kerana Allah Taala.” Atau ” Sahaja aku mandi wajib kerana Allah Taala.”

Niat itu didalam hati dan ia hendaklah disertakan ketika air sampai ke mana2 bahagian anggota badan. Bagi perempuan yang habis haid,niat mandi wajib ialah: "Sahaja aku mengangkat hadas haid kerana Allah Taala.” Manakala bagi perempuan yang habis nifas,niat mandi wajibnya ialah: "Sahaja aku mengangkat hadas nifas kerana Allah Taala”.

Niat itu jika dilambatkan atau ketika seseorang itu memulakannya selepas dia telah membasuh salah 1 anggota badannya akan menjadikan mandi wajibnya tidak sah.Oleh itu dia mestilah memulakan kembali niatnya ketika dia mula menyampaikan air keseluruh anggota badannya. Sekiranya dia berniat sebelum air sampai ke badan, niat itu juga tidak sah. Oleh itu mandi wajibnya tidak sah.

Mengenai rukun mandi wajib yang ke 2,iaitu menghilangkan najis yang ada pada badan,menurut Ustaz Haji Mat Jais, menurut Imam Nawawi, jika kita ada najis di badan,najis itu boleh dibasuh serentak dengan mandi wajib. Ertinya membasuh najis dengan mandi itu boleh disekalikan.

Sementara rukun mandi wajib yang ke 3 iaitu meratakan air ke seluruh anggota badan yang zahir,meliputi kulit, rambut dan bulu yang ada di badan,sama ada bulu2 yang jarang atau lebat.Jika rambut seseorang itu ditocang atau disanggul, sekiranya tidak sampai air ke dalamnya, tocang atau sanggul itu wajiblah dibuka. Bulu2 dalam lubang hidung pula,tidak wajib dibasuh kerana dianggap batin. Tetapi sekiranya,bulu2 di dalam hidung itu bernajis,ia wajiblah dibasuh.

Mengenai kuku pula,jika di dalam kuku ada kotoran yg boleh menghalang sampai air ke badan khususnya di bahagian bawah kuku,kotoran itu wajiblah dibuang. Membuang kotoran di dalam kuku itu pula boleh dilakukan ketika sedang mandi.

Tentang rambut yg diwarnakan pula selain inai,inilah yang merumitnya. Sebenarnya jika rambut seseorang itu diwarnakan dengan pewarna selain inai,mandi wajib seseorang itu tidak sah.Oleh itu seseorang yang mewarnakan rambutnya dengan pewarna selain inai,jika dia hendak mandi wajib,dia mestilah membuang pewarna pada rambutnya terlebih dahulu. Tetapi untuk membuang pewarna itu pula bagaimana? Inilah yang rumitnya,sedangkan pewarna pada rambut itu sebenarnya tidak boleh dibuang begitu mudah.

Yang menyebabkan mandi wajib orang yang menggunakan pewarna pada rambutnya tidak sah kerana pewarna itu akan menyalut rambutnya yang menghalang air sampai ke rambut. Ini berbeza dengan inai.Inai sebenarnya akan meresap ke rambut,tetapi pewarna pula akan menyalut rambut menyebabkan air terhalang ke rambut.

Tetapi dalam hal ini,jangan pula ada yang salah faham. Sebenarnya pewarna itu jika dikeluarkan sijil halal oleh JAKIM dan sekiranya pewarna itu tidak bernajis,bukanlah bermaksud menjadi tidak sah.Dalam hal ini,sukalah saya menyatakan bahawa sembahyang dan mandi wajib itu berbeza. Jadi,mestilah dipandang dari sudut yg berbeza. Dalam hal ini juga,sukalah saya menyatakan,huraian mengenai rukun mandi wajib seperti yang telah saya nyatakan ini adalah merupakan perbezaan sah atau tidak mandi wajib.Jadi ia perlulah diberikan perhatian yang lebih oleh umat Islam.

Mengenai sebab2 seseorang itu wajib mandi wajib pula,Ustaz Haji Mat Jais menegaskan, sebab2nya terdiri daripada 6 sebab. 3 sebab melibatkan lelaki dan perempuan iaitu kerana bersetubuh walaupun tidak keluar air mani,keluar air mani dan mati. Manakala 3 sebab lagi hanya melibatkan kaum perempuan sahaja iaitu keluar darah haid,nifas dan melahirkan anak. (wiladah)

Mandi wajib boleh dilakukan dimana2 dengan menggunakan air mutlak sama ada air telaga,air paip,sungai laut dan tasik.Bagi pasangan suami isteri yang bersetubuh pula,mereka tidak semestinya mandi selepas bersetubuh,tetapi diwajibkan mandi ketika ingin beribadat.

Selepas bersetubuh pula,jika ia dilakukan pada waktu malam,jika tidak mahu mandi wajib lagi, seelok2nya ambillah wuduk sebelum tidur itu adalah sunat,manakala tidak berwuduk sebelum tidur adalah makruh.

Rasulullah S.A.W Bersabda : " Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat, Sebaik-baik manusia itu adalah mereka yang memberi manafaat kepada manusia lain." [Hadith Riwayat Muslim].

Rabu, 18 April 2012

Kisah Tauladan : Jangan main-main dengan 20 Sen


Jangan main2 dengan 20 sen...

Tersebut kisah ada seorang Imam yang telah dipanggil ke suatu tepat untuk menjadi Imam tetap di sebuah masjid. Telah menjadi kebiasaan Imam tersebut selalu menaiki bas untuk pergi ke masjid.


Pada suatu hari, selepas Imam tersebut membayar tambang dan duduk di dalam bas, dia tersedar yang pemandu bas tersebut telah memulangkan wang... baki yang lebih daripada yang sepatutnya sebanyak 20 sen.

Sepanjang perjalanan Imam tersebut memikirkan tentang wang 20 sen tersebut.

"Perlukah aku memulangkan 20 sen ni?" Imam tersebut bertanya kepada dirinya.

"Ah... syarikat bas ni dah kaya... setakat 20 sen ni.. nak beli tosei pun tak cukup," hati kecilnya berkata-kata.

Apabila tiba di hadapan masjid, Imam tersebut menekan loceng dan bas tersebut pun berhenti.

Ketika Imam tersebut ingin turun sahaja daripada bas, tiba-tiba seakan-akan dirinya secara automatik berhenti dan berpaling ke arah pemandu bas tersebut sambil memulangkan wang 20 sen tersebut.

"Tadi kamu beri saya wang baki terlebih 20 sen", kata Imam tersebut kepada pemandu bas tersebut.

"Owh... terima kasih! Kenapa awak pulangkan 20 sen ni.. kan sedikit je nilainya," pemandu bas tersebut berkata.

Imam tersebut menjawab, "Wang tersebut bukan milik saya, sebagai seorang muslim saya perlu berlaku jujur."

Pemandu bas tersebut tersenyum, dan berkata, "Sebenarnya saya sengaja memberi wang baki yang lebih sebanyak 20 sen ni, saya nak uji kejujuran kamu wahai Imam. Saya sudah berkali-kali berfikir untuk memeluk Islam."

Imam tersebut turun dari bas dan seluruh jasadnya menggigil dan kesejukan. Imam tersebut berdoa sambil menadah tangan, "Astaghfirullah!!! Ampunkan daku Ya Allah... Aku hampir-hampir menjual harga sebuah Iman dengan 20 sen!!!"

Ps/jgn la gadai iman kita dgn seberapa besar pun nilai wang.. kerna iman tak boleh di jual beli... 

Isnin, 2 April 2012

Puan Nisah Hj.Haron - Kita Bangsa Yang Selesa


KITA BANGSA YANG SELESA


Kita bangsa yang selesa
berselindung di sebalik agama
membiarkan tersiksa saudara
sesekali tersentak
       – kita menukar jenama
sedangkan dalam ruang selesa
kita berganjak tiada
       – bimbang tertumpah air muka.


Usai musim memulau jenama
kita kembali berahi kepadanya
antara fardhu ain dengan kifayah
kita pilih bermain aksara
telefon bimbit kejap dalam genggaman
kerana yang menyanyi itu juga seagama.


Mengapa masih malu memulau hedonisme
Masih lagi menjadi hamba hawa nafsu
Terus alpa membenarkan eksperimen 5-S janaan mereka
Berjaya mengabui inti perjuangan sebenar
       Sex!
       Smoke!
       School!
       Sport!
       Screen & Song!


Siapakah mangsa sebenar keadaan ini
Mereka yang berada di bumi Palestina
Ataukah kita yang lebih hina


Anak siapa mengandung sebelum akad
Anak siapa bibirnya berpuntung asap
Anak siapa ke sekolah tapi fikiran melayah
Anak siapa qiamulail bersama Manchester, Liverpool dan Chelsea
Anak siapa berbondong-bondong berpesta
       Lebih kenal artis daripada ulama
       Lebih hafal lirik daripada doa


Dengan ilmu sedalam lantai tempayan
Kita mencari munasabah melabuhkan sauh persoalan
di situ bahtera karam
lidah kalam tenggelam dalam
sorai ketawa
jenaka alpa.


Justeru kita bangsa yang selesa
gemar berselindung di sebalik agama.




II


Kita bangsa yang selesa
masih berselindung di sebalik agama
di sini
bangga terhimpun di laman berkolam mini
batu-batu tersusun indah memaknakan erti seni
sedangkan batu yang serupa
nilainya lebih berharga
di sana
menjadi peluru menghentam angkuh bangsa.


Pernahkah kita menafsir iktibar
daripada derita sebuah bangsa
bala yang tumpah ke atas Palestina
peritnya melimpah ke pelusuk atma
pun
benarkah kita benar-benar percaya.


Sesekali peti hitam itu menayangkan sengsara
simpati melaut mencecah pantai hati
ataukah kita tak terpandang
       raungan ibu
       hiba ayah
       titis jernih anak-anak bermata bundar
lalu segera mengalihkan berita derita
rela menonton sebaris calon penyanyi hiba
       tidak cukup undi percaya; dan
       kita pun sama berduka.


Sedangkan di bumimu, Palestina
apakah masih ada harga air mata
setelah setiap saat ia mengalir
bersama darah pejuang
bergaul debu petualang




III


Kami enggan menjadi bangsa yang selesa
enggan berselindung di sebalik agama
iktibar daripadamu, Palestina
adalah untuk kami dakap kejap pada jiwa
bumi bertuah ini lebih empat ratus tahun
pernah bertukar milik
       - Portugis, Belanda, Inggeris,
       - Jepun dan komunis
kini Zionis!


Kami enggan menjadi bangsa yang selesa
enggan mudah percaya dengan apa yang ada
kami gali kebenaran dari tanahmu
kami hayati perjuangan syuhadamu
kami tidak rela kiblat yang pertama itu
menjadi harta bangsa penjarah darah saudaraku.




Ayuh,
Pinjamlah semangat Salahuddin Al-Ayubi
biar mengalir ke seluruh pembuluh tubuh ini
kita rebut semula Baitul Muqaddas
kerana setiap yang hak itu punya batas
kita bukan mahu dendam berbalas
kita mahu menjadi bangsa yang peduli
Berjuang!
       Walau bukan dengan ketul-ketul kerikil
       dengan pena
       dengan doa
       dengan percaya
bahawa kita bersaudara
setiap kali bedilan singgah di laman rumahmu
gegarnya terasa di anjung semenanjung




Justeru
Kita bukan bangsa yang selesa
Tidak pernah berselindung di sebalik agama
Dengan agama jiwa nurani teguh
Dengan agama iman ini terpasak utuh.
Dengan agama kita gagalkan eksperimen durjana
Kita bina agama dan bangsa bermaruah
Membiarkan Ad-Din mengalir ke setiap pembuluh darah
Merapatkan peribadi dengan Rasulullah
Setiap satunya kembali kepada Allah.


Inna lillah
Wa inna ilaihi
Raji’un.




Nisah Haji Haron
Ampangan – USM – Ampangan
1 – 5 Sya’ban 1430 H
23 – 27 Julai 2009